Friday 9 October 2015

Coret-coret 1



Utuhnya Sebuah Perpaduan



Getirnya semalam menyatukan kita seadanya
Mengorak perjalanan seia sekata
Eratnya ikatan terbina sekian lama
Moga tidakkan goyah walau badai melanda
Sepatah kata terkandung sejuta makna
Sejuta rahsia terselindung di dalamnya
Terbina atas keyakinan  bersama
Dahulu lagi ikatan  terjalin tanpa syarat
Insan itu terpaut hatinya tanpa sedar
Warna kulit tidak dijadikan syarat
Darah yang mengalir tetap sama warnanya
Senyuman terukir ramah menyapa

Dahulu lagi, insan-insan itu
Seiring sejalan berpimpin tangan
Pelbagai kenangan diwarnai bersama
Berkongsi getirnya peristiwa semalam
Ikatan terbina kukuh tak mampu terungkai
Tiada ragu tiada sangsi di hati
Kerna kita berlindung di bawah langit yang sama
Udara yang dihirup juga tiada bezanya
Nafas yang dihela membuktikan kita bersama
Mengalunkan perjalanan dalam lagu yang serupa.
Hati menerima segalanya seadanya

Tidak pernah terbina tembok antara kita
Usah dipesan berulang kali
Kasih dan hormatnya kita
Kekal bersemadi di hati
Usah mengguris sesama sendiri
Kelak kita sendiri yang rugi
Kala itu tiada dapat dibela lagi

Perpaduan..
Kuatnya ia bisa mengangkat wibawa negara bersama
Bisa mengharung segala badai mendatang
Kerna tautan tangan kita erat terjabat
Harus bagaimana kata-kata diungkap
Kasih sesama kita senantiasa wangi dan mekar
Duhai jiwa sematkan maknanya
Nun jauh ke dasar jiwa
Moga apa yang dibina kekal abadi
Bersatulah kita selamanya

Tembok perpaduan itu biarkan kukuh selamanya

No comments:

Post a Comment